Andaman sasar jualan RM1 bilion
BANGI 11 Jan. - Pemaju hartanah, Andaman Property Management Sdn. Bhd. (Andaman) menyasarkan jualannya mencecah RM1 bilion melalui beberapa projek yang akan dilancarkan pada tahun ini.
Pengarah Jualan dan Pemasaran Andaman, Datuk Vincent Tiew berkata, dijangka enam projek akan dilancarkan tahun ini meliputi pelbagai segmen iaitu kediaman dan komersial, pusat membeli-belah dan pejabat.
Katanya, antara lokasi yang dikenal pasti adalah di Johor Bahru, Ipoh dan sekitar Lembah Klang.
"Setiap projek itu mampu menjana jualan mencecah RM150 juta," katanya kepada pemberita selepas memperkenalkan salah satu projek milik syarikat itu, Pusat Perniagaan dan Komersial Sentral@Bangi (Sentral@Bangi CDB), di sini hari ini.
Sentral@Bangi CDB yang terletak di pusat Bandar Baru Bangi merupakan projek kerjasama antara Andaman dan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) melalui syarikat khas, PKNS-Andaman Development Sdn. Bhd. (PKNS-Andaman).
Projek itu meliputi dua fasa di mana yang pertama adalah bangunan empat tingkat 86 unit pejabat dan kedai dengan nilai pembangunan kasarnya (GDV) sebanyak RM200 juta.
Setiap unit berharga di antara RM2.15 juta hingga RM5.1 juta, berbeza mengikut saiz dan kedudukan.
Fasa kedua pula melibatkan pembangunan sebuah pusat membeli belah empat tingkat dengan GDV sebanyak RM350 juta. Bagaimanapun kata Tiew, unit kedai di dalam pusat itu tidak akan dijual sebaliknya disewakan.
Keluasan Sentral@Bangi CDB adalah sebanyak 5.44 hektar di mana 1.76 hektar daripadanya adalah keluasan bagi pusat membeli belah.
Kata beliau lagi, sehingga kini, 90 peratus unit pejabat dan kedai yang ditawarkan telah terjual dengan hasil jualannya mencecah sehingga RM180 juta.
"Kami menjangka, keseluruhan unit akan terjual sepenuhnya menjelang perayaan Tahun Baru Cina dua minggu lagi," katanya.
Projek itu dijangka siap pada suku pertama 2014. Andaman Property Management Sdn. Bhd. merupakan anak syarikat kepada Andaman Group.



Utusan Malaysia

